Khamis, 26 Februari 2009

Pengorbanan Pengasas DCL - Dato Azlina

Bagi yang berfikiran positif, ujian akan diterima sebagai pelajaran untuk menjadikan diri lebih matang, peka dan ampuh dalam berhadapan dengan cabaran.

Begitulah juga yang dikongsi rasa oleh usahawan wanita terkenal, Datuk Azlina Che Abdullah, yang secara jujur mengakui tanpa ujian dan pengorbanan pasti beliau sekeluarga tidak dapat mengecapi apa yang mereka ada pada hari ini.

Pengasas kedua De Classic Life (DCL) ini, telah mengharungi pelbagai pahit maung dalam usaha memikul tiga tugas serentak iaitu sebagai isteri, ibu dan usahawan.

Kini, bersama suami, Datuk Stapa Omar, mereka berjaya menerajui beberapa syarikat besar seperti D’ Navechee, DCL, DAS Travel, Nasi Dagang Ulik Mayang dan DCL Manufacturing.

Azlina menyingkap erti pengorbanan dari sudut pandangan dirinya dengan berkongsi sejarah jatuh bangun dalam perniagaan.

“Tahun 2004, memang paling mencabar bagi saya. Waktu itu DCL mengalami masalah apabila salah seorang ahli di Kelantan keluar secara tiba-tiba dan menarik ramai pengikut.

“Apa yang menjadi fokus saya ketika itu ialah untuk menyelamatkan syarikat kerana ramai ibu tunggal dan anak yatim yang bernaung di bawah perniagaan ini. Sebab itu saya korbankan segala yang ada untuk perniagaan ini,” jelas Azlina dalam pertemuan santai dengannya baru-baru ini.

Setelah melalui tempoh ‘ujian’ saat DCL dilanda masalah, perkara pertama yang dilakukan beliau ialah reda dengan dugaan tersebut.

“Alhamdulillah, bila kita reda, memaafkan orang lain dan tidak menyimpan perasaan sakit hati, maka Allah berikan kita idea sekali gus kekuatan untuk menyelesaikan masalah tersebut,” jelasnya.

Malah katanya, dugaan tersebut menjadikan dirinya lebih berani dan tabah dalam kehidupan.

Baginya, orang yang cepat penat dan mengalah ialah orang yang dikejar dengan perasaan negatif seperti cemburu dan sakit hati, sebaliknya orang yang bahagia tidak rasa penat apabila usaha mereka diiringi dengan tuntutan agama.

Selain itu, erti pengorbanan sebenar bagi wanita berjiwa kental ini ialah apabila terpaksa mengorbankan sebahagian besar masanya bersama suami dan anak-anak.

“Percayalah, bagi wanita bergelar isteri dan ibu yang pada masa sama ingin bergelar usahawan berjaya perkara itu (berkorban masa) tidak dapat dielak.

“Dulu, setiap hujung minggu saya masih bekerja tatkala orang lain berlibur. Dalam sebulan hanya dua atau tiga kali sahaja saya bertemu dengan suami.


Saya akui suami dan anak-anak perlukan belaian, namun itulah yang terpaksa saya korbankan.

“Sebenarnya pengorbanan tersebut bukannya sepanjang masa. Satu hari nanti kita akan merasai nikmat dari pengorbanan yang telah dilakukan.

“Apabila Tuhan memberi dugaan, dan kemudiannya kita reda dan laluinya dengan jujur, maka kita tidak akan merasai tekanan itu.

“Sebagai umat Islam kita harus percaya kepada qada dan qadar. Jika kita sudah melakukan yang terbaik, selebihnya berserah kepada Tuhan untuk menentukan,” tambahnya.

Seperkara lagi yang beliau selalu ingatkan pada dirinya sendiri dan rakan perniagaan wanitanya yang lain, sebagai isteri yang sudah berjaya janganlah sesekali memperlekehkan suami.

“Mengalah tidak semestinya kalah. Isteri yang mengalah sebenarnya mendapat banyak pahala. Hidup ini untuk dinikmati bukannya untuk dideritai.

Sebagai wanita, kita kena mencari jalan untuk menikmati hidup ini sewajarnya.

“Nasihat saya pada wanita, kita berniaga untuk persediaan diri. Kalaulah hendak ditakdirkan suami tidak lagi tegar bersama kita, jangan sesekali mencabar keegoan mereka,” jelas Azlina penuh makna.

Bagi beliau, kelembutan adalah senjata utama dalam menawan sesuatu, malah kecantikan seorang wanita bukan terletak pada penampilan tetapi peribadinya yang menyerlahkan.

“Kalau kita rasa marah pada anak-anak atau suami cakaplah dengan baik, begitulah juga dengan pekerja, pelanggan dan sebagainya, semuanya mesti ditangani dengan kelembutan,” katanya.

Sebagai wanita, Azlina mengakui beliau juga mempunyai cara tersendiri dalam menjaga tubuh badan dan kecantikan.

“Saya tidak mengambil ais dalam minuman. Kerana ais menghilangkan keanjalan kulit.

Satu rahsia lain ialah rasa bahagia dan berilah yang terbaik untuk suami serta keluarga.

Apabila kita sudah bina semua itu nescaya seri kebahagiaan akan terpancar pada wajah dan diri,” kata wanita berjiwa besar ini.

Percutian ke IndonesiaAzlina mengakui, kejayaan yang dicapai hari ini juga tidak akan berlaku tanpa sokongan dan dedikasi yang ditunjukkan oleh kakitangan syarikatnya.

Justeru, sebagai menghargai sumbangan mereka, beliau dan suami baru-baru memberi ‘bonus’ dengan membawa kakitangannya di bawah syarikat DCL, D'Navechee, DAS Travel, Restoran Nasi Dagang bercuti ke Medan Indonesia.

“Seramai 130 orang yang turut serta dalam percutian ini. Tiada sebab spesifik kenapa Medan dipilih. Setiap inci bumi Tuhan memang indah, terpulang kepada persepsi masing-masing untuk menilainya, jelas beliau.

Sempena percutian yang kebetulan jatuh pada sambutan Hari Raya Aidiladha, DCL turut melakukan ibadah korban di Masjid Nurul Iman, di sebuah kawasan pedalaman di Medan.

Tiga ekor lembu dikorbankan di masjid yang dibina hasil sumbangan Tun Dr. Mahathir dengan Yayasan Al Bukhari.

Pada percutian yang berlangsung selama empat hari tiga malam itu, DCl turut meraikan hari lahir 17 kakitangan mereka.

Selain itu, rombongan turut dibawa melawat ke tasik terbesar di dunia, Danau Toba, Pulau Samosir, air terjun Sipiso-piso, Berastagi dan kota Medan.

Azlina dan Stapa menyifatkan percutian ini juga adalah peluang untuk mengenali dengan lebih rapat kakitangan dari empat buah syarikat di bawah naungan beliau.

- Utusan
[ Berminat? Maklumat lanjut @ pertanyaan : duitcukuplumayan@gmail.com ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan